Majlis Silaturrahim & Mahabbah Rasul SAW IPTAF Lembah Kelang

Ustaz Abi Razali (kiri) dan Ustaz Badar (kanan) sedang memimpin zikir dan qasidah sambil diiringi muzik Islami
Alhamdulillah, IPTAF Lembah Kelang buat julung kalinya mengadakan Majlis Silaturrahim dan Cinta Rasul SAW pada Ahad, 12 Julai 2009 di D’Akmal Homestay, Sek 27, Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Dihadiri oleh kira-kira 50 orang termasuk ahli keluarga masing-masing.
Majlis yang menghimpunkan para pembimbing IPTAF dan para pendokong IPTAF ini bermula dengan solat Maghrib dan wirid berjemaah. Kemudian disusuli dengan alunan zikir munajat pimpinan ustaz Badar, sebelum Ustaz Abi Razali Daud (pembimbing IPTAF Lembah Kelang) menyampaikan ucapan aluan dan tausiah ringkas yang menyentuh jiwa dan membuka minda, khususnya dalam soal mencintai Nabi SAW.
Turut dijemput memberi tausiah ialah ustaz Yusof (pembimbing IPTAF Kemaman, Terengganu) yang turut hadir kerana mengendalikan kursus Meneroka Rahsia Diri (MRD) yang diadakan pada sebelah siangnya. Beliau turut menyentuh mengenai persoalan arah tuju kehidupan, matlamat ibadah yang tiada lain untuk menyuburkan cahaya kehambaan serta kepentingan tauhid tasawuf sebagai jalan ketenangan dan kebahagiaan hidup. Syurga dijanjikan Allah buat mereka yang ketika hidup di dunia ini sanggup bermujahadah demi mencari redha dan cinta Allah.
Diselang-selikan dengan alunan zikir-zikir munajat, seterusnya solat Isya berjamaah.

Gemersik suara Ustaz Abi Razali mengalunkan qasidah menerobos ke dalam jiwa-jiwa yang mencari cinta Tuhannya. (di kiri beliau ialah sdra Hisham Ghazali...)
Selepas Isya’, al fadhil Ustaz Abi Razali dan ust Badar memimpin bacaan qasidah dan selawat yang diiringi dengan muzik Islami yang amat mengujakan jiwa. Para hadirin turut sama mengalunkan qasidah-qasidah dengan penuh khusyuk dan tawadhu, menimbulkan suasana yang sangat harmoni dan asyik dalam mahabbah Allah dan Rasul SAW.
Majlis diakhiri dengan doa munajat yang disampaikan penuh syahdu oleh Ust Abi Razali sehingga mengundang titisan air mata mereka yang hadir. Kemudian para hadirin bersalam-salam penuh ukhuwah dan mahabbah sebelum menikmati jamuan ringan yang disediakan.
Menurut ustaz Abi Razali, majlis ini akan diadakan 2 minggu sekali dan buat masa ini akan diadakan di tempat yang sama. Justeru semua pihak dijemput hadir untuk memeriahkan majlis dan mengambil ilmu serta barakoh dari majlis tersebut.

Bersalaman sambil berselawat selepas majlis berakhir
|