headerphoto

Majlis Cinta Allah dan Rasul
IPTAF Kemaman

Buat julung kalinya, IPTAF Kemaman bersama dengan Madrasah Siratol Mustaqim, Bt. 4 Kemaman mengadakan majlis “Malam Cinta Allah dan Rasul” malam tadi. Ia diadakan serentak dengan majlis yang sama yang berlangsung di Ribath Al-Hidayah, Bt Buruk, Kuala Terengganu anjuran IPTAF Kuala Terengganu.

Majlis bermula solat Isya berjemaah, dengan kehadiran lebih 100 muslimin muslimat beserta keluarga masing-masing. Selepas Isya’ ustaz Khairul memimpin bacaan zikir munajat, diikuti tausiah oleh ustaz Yusof (pembimbing IPTAF Kemaman) yang membicarakan perihal kecintaan Rasulullah SAW terhadap kita semua. Seterusnya bacaan 2 buah qasidah dengan iringan muzik Islami yang sangat mengesankan, disampaikan oleh para pelajar Al-Mustaqim.

Kemudian, ustaz Yusof membacakan doa munajat yang mengundang titisan air mata hadirin. Dalam doa tersebut beliau juga memohon agar Allah memelihara para hadirin yang hadir, ahli keluarga, masyarakat dan sekelian muslimin dan muslimat daripada wabak penyakit (khususnya H1N1) yang sedang melanda pada masa sekarang. (Nota: setakat berita ini ditulis, 14 orang rakyat Malaysia telah meninggal akibat wabak tersebut, dan kes yang dicatatkan hampir 1,500 orang!)

Sebaik selesai doa munajat, para pelajar al-Mustaqim bersama-sama hadirin membacakan qasidah ‘Ya Toibah’ dan ‘An-Nabiyy Sollu alaih’ dengan penuh penghayatan. Kemudian semua bangun dan melaunkan selawat sambil bersalam-salam.

Majlis berakhir dengan jamuan kuih muih yang dibawa masing-masing para hadirin.

Insya Allah majlis ini, akan diadakan 2 minggu sekali atau sekurang-kurangnya sebulan sekali. Mudah-mudahan majlis seperti ini dapat menyemarakkan cahaya cinta terhadap Allah dan Rasulullah SAW…

(Catatan oleh : Hj Abdullah)