'BERBAHAGIALAH DIRIMU KEMBALI KE SISI KEKASIHMU' - Ustaz Abd. Sri kembali ke rahmatuLlah


[Lagi foto di bahagian akhir artikel. Foto Allahyarham insya Allah akan menyusul..]

Hamba ini musafir hina
Tiada kekuatan cintaku ya Allah
cintaMu tabir pembuka redhaMu
cintaMu... sujudku...

Begitulah sebahagian bait syair Allahyarham Ustaz Abd. Sri Koboi, bagaikan mengetahui bahawa saat diri akan dipanggil pulang ke hadrat Illahi sudah amat hampir. Dan kerinduan yang teramat sangat kepada Allah akhirnya menemui kesudahannya.

Bagai bermimpi apabila menerima berita bahawa beliau telah pulang ke rahmatuLlah kira-kira jam 4.11 petang Isnin 25 Jan. 2010. Selama beberapa ketika, terkedu dalam mencari kepastian sebelum berita hiba ini dihebahkan kepada teman-teman yang lain.

Menurut Mudir Ribath Syeikh Abdul Malik, Ustaz Abi Badrul, pagi Isnin itu seperti biasa beliau akan datang berjemaah subuh bersama-sama di Zawiyah Syeikh Abdul Malik. Dan seperti biasa juga, selepas selesai berwirid, beliau akan membersihkan kawasan bilik air dan tandas. Itulah rutin beliau dalam 3 bulan terakhir ini.

Setiap hari beliau akan memenuhi jadual mengajar al-Quran dan mengajar kitab di beberapa tempat sekitar Kuala Terengganu, disamping tugas-tugas khidmat yang berkaitan dengan IPTAF.

Menurut khabar teman yang membawa beliau ke klinik, Safri, dalam jam 3 ptg isteri beliau membawa beliau ke Ribath dan mohon pertolongan untuk dihantar ke klinik kerana berasa tidak sihat. Sejurus sampai di klinik terdekat, dan selepas diperiksa, Dr. menyatakan tiada sakit yang serius dan akan diberikan ubat-ubatan. Dr. berpesan jika rasa sakit makin serius disyorkan segera ke hospital.

Saat itulah ketika Safri mengambil ubat di kaunter, Allahyarham yang duduk di kerusi tiba-tiba seperti kekejangan dan sesak nafas. Terus diangkat dan diikhtiarkan Dr. dengan pelbagai cara untuk memulihkan keadaannya, namun tiada berhasil. Akhirnya disahkan beliau telah pergi buat selama-lamanya.

Kemudian jenazah dibawa pulang ke zawiyah untuk urusan pengkebumian. Bagi memenuhi permintaan ibu dan ahli keluarga arwah untuk melihat arwah buat kali terakhir, maka urusan tersebut ditangguhkan sehingga ke waktu Asar Selasa bagi menanti ketibaan mereka dari Tawau, Sabah.

Alhamdulillah, solat jenazah dilangsungkan sebaik selesai solat Asar di zawiyah. Jenzah dibawa dengan van ke Tanah Perkuburan Islam Pulau Manis, tidak jauh dari zawiyah.

Lokasi beliau disemadikan kira-kira 20 meter sahaja dari Makam Syeikh Abdul Malik Abdullah (Tok Pulau Manis). Bacaan talqin disempurnakan oleh Ustaz Lah, imam Masjid Pulau Manis, manakala doa pula dibaca oleh Ustaz Mustaffa Kamal, pengerusi IPTAF. Urusan pengkebumian selesai kira-kira jam 6.45 petang.

Latar Ringkas Allahyarham

Allahyarham dilahirkan di sebuah pulau di daerah Tawau, Sabah kira-kira 37 tahun dahulu. Merupakan anak sulung dari 8 orang adik beradik. Bapa arwah telah lama meninggal dunia.

Tahun 1992 arwah belajar di UITM Dungun, Terengganu dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan, kemudian menyambung ke peringkat ijazah di UiTM Shah Alam, Selangor. Tamat pengajian beliau berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta dan dalam masa yang sama terlibat dengan program-program keagamaan dan pendidikan Islam, malah pernah menjadi guru institusi pendidikan Islam di Kuala Lumpur. Pernah menetap di Pahang, Kuala Lumpur, Klang dan akhirnya pada 2003 berpindah ke Terengganu bersama keluarga arwah.

Semenjak di Terengganu, beliau menumpukan sepenuh masa dengan program-program dakwah dan pendidikan. Disamping mengajar al-Quran, fardhu ‘ain dan pengajian kitab di rumah/pejabat, arwah pernah berkhidmat dengan beberapa NGO Islam termasuk Persatuan Darul Fitrah Malaysia (Terengganu) yang berpejabat di Pasir Panjang, K. Terengganu.

Arwah juga terlibat dengan usaha pembangunan Zawiyah / Ribath Syeikh Abd Malik, Pulau Manis bermula tahun 2005 lagi sehingga akhir hayatnya.

Hasrat beliau ialah untuk kembali berdakwah dan membangunkan institusi pendidikan Islam di tanah kelahirannya di Sabah. Namun, Allah lebih menyayangi arwah walaupun beliau telah mengadakan beberapa program dakwah di Sabah sebelum ini.

Mempunyai seorang isteri dan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Anak bongsu arwah berusia kira-kira 7 bulan.

Menurut beberapa sahabat yang menguruskan jenazah arwah dari awal sehingga saat memandi dan mengkafankan jenazah, tubuh arwah begitu lembut sekali dan bagaikan orang yang masih hidup. Wajah arwah begitu tenang, dan seolah-olah terpancar cahaya kegembiraan yang sukar diungkapkan.

Dalam semua perkara, ada satu hal amat menyentuh hati kami semua mengenai Allahyarham. Isteri arwah menemui satu syair rakaman arwah sendiri di dalam telefon bimbit arwah… ia dirakamkan sekitar jam 3.11 pagi, kira-kira 13 jam sebelum arwah pulang menemui kekasihnya jam 4.11 ptg.

Syair penuh kerinduan dan kecintaan kepada kekasihnya ini adalah nukilan arwah sendiri dan dilagukan sendiri oleh arwah. Ia menceritakan segala-galanya, dan bila mendengarnya pasti kita akan memahami kenapa dalam usia masih muda (37 tahun), beliau telah dipanggil Allah kembali ke sisinya.

Benarlah kalam para auliya' Allah, ‘barangsiapa yang benar-benar mencintai dan merindui Tuhannya, sesungguhnya Dia itu terlebih lagi dalam cinta dan rindu untuk bertemu hambaNya..'

Disini dicatatkan transkrip syair arwah bertajuk "MUSAFIR HINA" buat renungan kita yang masih hidup ini...

Hamba ini musafir hina
Tiada kekuatan cintaku ya Allah
cintaMu tabir pembuka redhaMu
cintaMu... sujudku...

belaianMu... terima kasihku
kau jua tiada Dia
Anta Tuhan demi Dia

demiNya tiada ku
Allah... manalah ada padaku
kasihMu dari senja padaku


Allah... ku menanti rinduMu
Kerana rinduku tidak berdaya
kasihMu... semayam di ambang rinduku


ya Allah aku musafir hina
meraih secebis rinduMu
di mana-mana...


Allah... tiada yang ada
Hanya namaMu... Huwa
Nur Mu tajalli lah di atas diri ini
Ya Rahim kembalikanlah kasih ini
Kepada kasihMu


Ya Razzaq baikilah serpihan hati ini
dengan pemberian Mu


Allah... anta Allah!
Ya Rabbi, bak menanti diri dipanggil lagi
Ya Karim, sallaLlahu ‘ala Muhamad ibni Abdillah


Allah... mana aku di sisiMu
Allah... Allah... Allah...
IntansuruLlah... Habibullah... Sufiyyulah
Hayyun Sifatullah…
Allah…


Demi Mu... Tiadalah hamba ini
Demi Mu... Segalanya
Ya Allah... ambillah serpihan kasihMu
Sebagai rindu hamba faqir ini


Ya Zahir, sampaikanlah hamba ini
kepadaMu... Allah...
Andai ada cintaMu pada diri ini
Suburkanlah cinta itu


cintaMu ku lihat di segenap lapisan diri ini
ya Allah, hamba ini tiada kekuatan
cintaMu jua yang bersinar di dalam diri ini


kupohon cintaMu, demi cinta diri ini kepadaMu
subhanaLlah, tiadalah hamba ini di sisi Mu
cintaMu jua salam di atas segi hidup ini
ya Allah ampunilah diri ini
sebagai hamba yang bertaubat


Sallallahu 'ala Muhammad
ya Batin... himpunlah sisa hidup ini
dalam himpunan kekasihMu


Astaghfirullah... astaghfirullah...
Astaghfirullah... astaghfirullah...
Astaghfirullah... astaghfirullah...
astaghfirullah...


Subhanallah... Subhanallah... Subhanallah


Amin... ya Rabb


solat Asar


doa selepas solat Jenazah


diusung menaiki van


van bergerak ke tanah perkuburan


bangunan kuning di sebelah kanan adalah
kawasan pemakaman Tok Pulau Manis


persiapan untuk menurunkan keranda


akhirnya diturunkan ke liang lahad


Tuan Guru Ayah Ku Husin, mudir Pondok Lubuk Pandang beserta murid beliau
bersolat jenazah kerana kelewatan sampai


bacaan talqin dan doa

Mohon maaf jika terdapat kelemahan dalam catatan di atas dan mohon diperbetulkan jika ada kesilapan.
irsyad

© Copyright 2010 IPTAF